Thursday, 30 July 2015
Jerawat
JERAWAT
Jerawat merupakan masalah kulit yang menyebabkan terhasilnya bengkak-bengkak pada muka, dada atau belakang badan. Ia kemudiannya membentuk jerawat putih yang kecil mengandungi nanah atau jerawat hitam atau bonjolan berwarna merah.
APAKAH YANG MENYEBABKAN JERAWAT?
• Gabungan faktor-faktor seperti genetik, hormon, bakteria, liang tersumbat dan keradangan akan menyebabkan jerawat.
• Folikel rambut atau liang pada kulit mengandungi kelenjar sebum yang menghasilkan sebum (minyak). Semakin banyak sebum dikeluarkan, peluang untuk mendapat jerawat semakin tinggi.
• Apabila liang ini tersumbat dengan sebum dan keratin (sel kulit yang mati) jerawat hitam (komedo) akan terbentuk.
• Jika liang yang tersumbat kekal tertutup dan ia membengkak, kita gelarkannya sebagai jerawat putih (whitehead).
• Jika liang yang tersumbat kekal terbuka dan permukaan atasnya (pada kulit) menjadi gelap, ia dikenali sebagai jerawat hitam.
• Dinding folikel mungkin pecah lalu membentuk bonjolan berwarna merah.
FAKTOR-FAKTOR YANG MENGGANGGU KULIT
• Gangguan hormon disebabkan oleh:
o Tekanan psikologi.
o Pra-haid.
• Faktor persekitaran seperti:
o Kelembapan yang tinggi lalu menyebabkan kulit membengkak.
o Menggunakan kosmetik seperti sesetengah jenis pelembap, bedak asas dan minyak rambut.
o Pekerjaan yang melibatkan minyak dan gris (contoh memasak kentang goreng).
o Pakaian yang kasar.
• Ubat-ubatan seperti pil perancang kehamilan dan ubat tertentu (dapatkan nasihat doktor atau pegawai farmasi).
GEJALA
• Ruam kulit atau lesi (luka) pada muka, dada, leher, bahagian atas belakang badan, bahu atau bahagian-bahagian lain.
• Komedo (jerawat putih atau jerawat hitam bergantung kepada warnanya).
• Lesi atau kulit di sekeliling lesi menjadi kemerah-merahan.
• Radang di sekeliling tompokan pada kulit.
• Tompokan pada kulit menjadi berkerak.
• Kulit menjadi berparut.
• Pigmentasi.
PENGURUSAN SENDIRI
• Basuh muka dengan air dan sabun yang lembut atau gunakan pencuci antiseptik 2 kali sehari dan lap kering dengan tuala yang lembut.
• Sikat atau ikat rambut supaya tidak menutup muka.
• Gunakan pelembap berasaskan air (dapatkan nasihat doktor atau pegawai farmasi).
• Jangan menggunakan bahan-bahan kosmetik yang berminyak seperti bedak asas atau pelindung cahaya matahari.
• Jangan mencucuk, menggaru dan memicit jerawat, noda hitam atau noda putih. Ini boleh menyebabkan kulit muka berparut.
• Jangan meletakkan/merehatkan muka di atas tangan seperti berteleku/ menongkat dagu dan lain-lain kerana ini boleh merengsakan kulit muka.
• Gunakan ubat jerawat yang dapat menghalang liang daripada tersumbat dan menanggalkan noda hitam dan noda putih.
• Patuhi arahan penggunaan ubat jerawat dengan berhati-hati.
• Hentikan penggunaan ubat jerawat jika mendatangkan kesan sampingan yang teruk.
• Pakai pakaian yang longgar dan nipis jika jerawat terdapat di belakang badan atau dada.
KOMPLIKASI
1. Fizikal - parut yang kekal di muka.
2. Psikologikal - gangguan psikologi terhadap keyakinan diri, harga diri, personaliti dan kehidupan sosial.